Wednesday, November 08, 2006

TIPS SPM BM NOVEL (Cikgu Gan T H)

1. Umumnya, pengarang akan memilih pelbagai latar dalam penulisan mereka. Huraikan aspek latar masa yang dipaparkan melalui novel yang telah anda pelajari. [7m]

Berdasarkan novel Putera Gunung Tahan, antara latar masanya ialah zaman penjajahan Inggeris. Sebagai contohnya, pada masa itu, digambarkan pejuang-pejuang Melayu Pahang seperti Dato’ Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau dan suami perempuan tua menentang penjajah Inggeris.
Latar masa yang seterusnya ialah 7 hari 7 malam atau seminggu. Pada tempoh itu digambarkan Tuan Robert dan Tuan William mendaki Gunung Tahan.
Latar masa yang berikutnya ialah 3 bulan. Contohnya, pada tempoh itu digambarkan Mem William tidak sedarkan diri selepas pesawat yang dinaikinya jatuh terhempas.

2. Teknik penceritaan memainkan peranan penting dalam sesebuah sesebuah karya sehingga dikatakan bahawa kekuatan sesebuah cerita itu bergantung pada teknik penceritaan yang digunakan. Berdasarkan novel yang telah dipelajari, kemukakan tiga teknik penceritaan yang digunakan oleh pengarang bersertakan contoh peristiwa yang digambarkan melalui teknik tersebut. [8m]

Berdasarkan novel Putera Gunung Tahan, antara teknik penceritaan yang digunakan ialah teknik pemerian. Antara contoh peristiwa yang menggunakan teknik ini ialah pengarang mengambarkan perwatakan Kusina sebagai pembantu Ratu Bongsu dan dikatakan seorang yang muda dan mempunyai rupa paras yang bersih.
Teknik penceritaan yang seterusnya ialah teknik imbas muka. Antara contoh peristiwa yang menggunakan teknik ini ialah Tuan Robert membayangkan bahawa dia dan William akan memperoleh kekayaan seperti emas dan batu permata melalui pengembaraan mereka di Gunug Tahan. Contoh yang seterusnya ialah Mem William membayangkan dia dan Ratu Bongsu akan memperoleh anak lelaki.
Teknik penceritaan yang berikutnya ialah teknik dialog. Sebagai contohnya, Tuan William bercakap dengan Ratu Bongsu berhubung dengan tujuan kedatangannya ke Gunung Tahan.
3. Huraikan 3 unsur negatif yang terdapat dalam novel yang anda pelajari. [8m]

Berdasarkan novel Putera Gunung Tahan, antara unsur negatifnya ialah curang. Sebagai contohnya, Mem William telah menduakan suaminya semasa suaminya berkhidmat di Tanah Melayu.
Unsur negatif yang seterusnya ialah mementingkan kekayaan. Sebagai contohnya, Tuan Robert dan William sanggup datang ke Tanah Melayu untuk mencari kawasan peranginan bagi orang Inggeris semata-mata untuk mendapatkan ganjaran/upah sebanyak 5000 Paun.
Unsur negatif yang berikutnya ialah ego/ bangga diri. Sebagai contohnya, Tuan William mengagungkan bangsanya sendiri dan memperlekek orang Melayu ketika bercakap dengan Ratu Bongsu.
Unsur negatif yang seterusnya ialah tidak berterima kasih...........
Unsur negatif yang seterusnya ialah tidak hipokrit...........


4. Teknik dialog digunakan secara meluas dalam novel yang anda pelajari. Pada pandangan anda, kenapakah teknik dialog ini digunakan? Berikan contoh dua peristiwa yang menggunakan teknik tersebut. [8m]

Pada pandangan saya, teknik dialog digunakan untuk menjadikan cerita lebih menarik, realistik/hidup dan menjadikan cerita lebih jelas mesej yang ingin disampaikannya. Teknik dialog juga digunakan untuk memanjangkan novel.
Berdasarkan novel Putera Gunung Tahan, antara peristiwa yang menggunakan teknik ini ialah dialog antara Kusina dengan William yang antara Kusina mengatakan Robert telah mati. Contoh peristiwa yang berikutnya ialah dialog antara perempuan tua dengan Robert yang menyisahkan asal usul dirinya.

5. Apakah yang anda fahami tentang teknik imbas kembali? Berdasarkan novel yang anda pelajari, nyatakan dua peristiwa yang menggunakan teknik ini. [7m]

Teknik imbas kembali ialah suatu teknik penceritaan yang menceritakan semula peristiwa yang telah berlaku sama ada melalui kenangan ataupun ingatan.
Berdasarkan novel Putera Gunung Tahan, antara contoh peristiwa yang menggunakan teknik ini ialah peristiwa Kusina memberitahu William bahawa Robert telah mati.
Peristiwa yang seterusnya ialah perempuan tua menceritakan kepada Robert bagaimana dia diselamatkan oleh orang Sakai dan dibawa ke perkampungan mereka.
Peristiwa yang berikutnya ialah perempuan tua menceritakan kepada Robert bagaimana dia membunuh harimau putih.

6. Berdasarkan novel yang anda pelajari, huraikan unsur masyarakatnya. [8m]

Berdasarkan novel Putera Gunung Tahan, antara unsur masyarakat ialah raja atau pemerintah seperti Ratu Bongsu dan raja-raja Melayu,
Selain itu, unsur masyarakat uang seterusnya ialah pengkaji hutan atau peneroka seperti Tuan William dan Tuan Robert.
Unsur masyarakat yang berikutnya ialah pejuang-pejuang tanah air seperti Dato’ Bahaman, Tuk Gajah dan Mat Kilau.
Unsur masyarakat yang seterusnya ialah penunjuk jalan seperti Ali.
Unsur masyarakat yang berikutnya ialah pembawa barang seperti Awang.
Unsur masyarakat yang seterusnya ialah pembantu raja seperti Kusina.

7. Nyatakan biodata pengarang novel yang anda pelajari itu. [7m]

Pengarang novel Putera Gunung Tahan ialah Ishak Hj. Muhammad. Nama samaran beliau ialah Pak Saka, Isako-san dan Pak Pandir moden. Beliau dilahirkna pada bulan september 1909 di Kampung Bukit Saguntang, Temerloh, Pahang. Beliau mendapat pendidikan sekolah Melayu dan Inggeris. Beliau pernah bekerja sebagai penolong pegawai daerah, majistret, pengarang dan wartawan Warta Malaya dan Utusan Melayu. Beliau pernah menghasilkan novel yang berjudul Putera Gunung Tahan, Anak Mat Lela Gila. Beliau juga pernah menghasilkan cerpen seperti Istana Berembun. Atas sumbangan beliau itu, beliau dikurniakan Ijazah Kehormatan Doktor Persuratan (PHD) daripada Universiti Malaya dan Augerah Pejuang Sastera. Beliau meninggal dunia padaa tahun 1991.


8. Berdasarkan novel yang anda pelajari, jelaskan tiga pengajaran atau unsur didaktik yang terdapat dalam novel itu. [8m]

Berdasarkan novel Putera Gunung Tahan, antara pengajarannya ialah janganlah kita bersikap terlalu mementingkan diri sendiri. Sebagai contohnya, William terlalu bersikap mementingkan diri sendiri kerana dia lebih mementingkan ganjaran wang jika dapat mengambil puncak Gunung Tahan daripada memikirkan hal isterinya yang curang.
Pengajaran yang seterusnya ialah janganlah kita terlalu mudah mempercayai orang yang baru dikenali. Sebagai contohnya, ‘Maharani’ telah menasihati Ratu Bongsu supaya berhati-hati dengan William.
Pengajaran yang berikutnya ialah kita perlulah membalas budi baik orang lain terhadap kita/ mengenang budi. Sebagai contohnya, perempuan tua telah berhutang budi dengan orang Sakai yang pernah menyelamatkannya ketika dia mahu melahirkan Tahan. Sebagai balasannya, dia mengajar mereka tentang ilmu agama.

9. watak memainkan peranan penting dalam menggerakkan sesuatu cerita. Salah satu jenis watak yang turut berperanan ialah watak sampingan. Nyatakan satu contoh watak sampingan yang ditemukan dalam novel yang anda pelajari, dan huraikan peranan watak tersebut. [7m]

Memang tidak dapat dinafikan bahawa watak samping turut memainkan peranan penting dalam sesebuah novel. Salah satu watak sampingan dalam novel Putera Gunung Tahan ialah perempuan tua.
Antara peranannya ialah sebagai seorang isteri pejuang. Sebagai contohnya, perempuan tua bersama-sama dengan suaminya, Mat Kilau, Tok Gajah dan Dato’ Bahaman berjuang menentang penjajah Inggeris di Pahang.
Peranannya yang seterusnya ialah sebagai seorang pendakwah. Sebagai contohnya, perempuan tua menyebarkan ajaran Islam kepada masyarakat orang Sakai yang menyelamatkannya.
Peranannya yang berikutnya ialah seorang yang berperikemanusiaan. Dia amat simpati dengan Robert dan atas nasihatnya, Robert tidak diapa-apakan dan sebaliknya diberi layanan yang baik serta dilantik sebagai Batin Putih.

10. Berdasarkan dua buah novel yang anda pelajari, bandingkan tema atau persoalan pokoknya. [8m]

Tema novel Di Hadapan Pulau ialah kesan peperangan atau penderitaan akibat peperangan. Digambarkan Tuk Marzuki mati, Aziz menderita kerana tidak ada makanan dan Mak Ketong sengsara kerana menjaga dua orang cucu serta banyak orang yang mati akibat peperangan. Manakala novel Putera Gunung Tahan membawa tema semangat cinta akan tanah air. Digambarkan Putera Gunung Tahan menolak perwatakan William untuk mendapatkan puncak Gunung Tahan biarpun ditawarkan 5000 paun dan sebuah istana. Hakikat ini menunjukkan betapa Ratu Bongsu mempunyai semangat cinta akan tanah air.

11.Berdasarkan dua buah novel yang anda pelajari, bincangkan persoalan kerjasama dengan memberikan contoh-contoh yang sesuai. [7m]

Persoalan kerjasam memang ketara dalam novel Di Hadapan Pulau dan Putera Gunung Tahan.
Dalam novel Di Hadapan Pulau, persoalan kerjasama dapat dilihat dalam peristiwa penduduk kampung keluar beramai-ramai membina shelter berhampiran dengan rumah Mak Ketong. Peristiwa yang lain ialah orang ramai saling membantu mengeluarkan Tuk Marzuki dari shelter selepas terkena bom dalam serangan udara tentera Jepun.
Sementara itu, dalam novel Putera Gunung Tahan pula, persoalan kerjasam dapat dilihat dalam peristiwa William keluar mencari Robert yang hilang. Peristiwa seterusnya ialah sekumpulan orang Sakai membantu menyelamatkan perempuan tua yang sarat mengandung ketika ditinggalkan oleh anak buahnya.

12. Berdasarkan dua buah novel yang anda pelajari, bandingkan latar masanya dengan memberikan contoh-contoh yang sesuai. [7m]

Latar masa dalam novel Di Hadapan Pulau ialah zaman Perang Dunia Ke-2. Sebagai contohnya, pada zaman itu digambarkan tentera Jepun telah menyerang Pulau itu dan menewaskan tentera Australia.
Sementara itu, latar masa dalam novel Putera Gunung Tahan ialah zaman penjajahan Inggeris di Tanah Melayu. Sebagai contohnya, digambarkan negeri Pahang dan negeri-negeri lain terletak di bawah kuasa kerajaan Inggeris. Dikatakan raja-raja di 9 buah negeri telah menerima sebuah istana dan 5 ribu paun daripada kerajaan Inggeris.

13. Berdasarkan dua buah novel yang anda pelajari, bandingkan peranan watak utamanya dengan memberikan contoh-contoh yang sesuai. [7m]

Watak utama novel Di Hadapan Pulau ialah Aziz, manakala watak utama novel Putera Gunung Tahan ialah Ratu Bongsu. Kedua-dua watak ini berperanan sebagai seorang anak yatim yang kematian bapa. Sebagai contohnya, Aziz telah kematian bapanya pada 2 bulan yang lalu sedangkan ayah Ratu Bongsu meninggal dunia sebelum Ratu Bongsu dilahirkan ke dunia.
Kedua-duanya juga berperanan sebagai seorang yang memuliakan dan menghormati orang tua. Sebagai contohnya, Aziz amat menghormati Syed Fikri, Tuk Marzuki, Joyah, Mak Ketong, dan sebagainya. Begitu jugalah dengan Ratu Bongsu yang begitu menghormati ‘Maharani’ yang merupakan penjaga Pohon Beringin.

14. Apakah yang anda ketahui tentang watak antagonis. Berdasarkan novel yang anda pelajari, nyatakan satu watak antagonis dan kemukakan hujah-hujah untuk membuktikan bahawa watak tersebut bersifat antagonis. [7m]

Watak antagonis ialah watak jahat dalam sesuatu cerita/karya. Berdasarkan novel Putera Gunung Tahan, watak antagonisnya ialah Tuan William.
Antara alasannya ialah William tidak mengenang budi. Sebagai contohnya, dia meminta majikannya di London menyerang puncak Gunung Tahan sedangkan Ratu Bongsu banyak membantunya ketika berada di Gunung Tahan.
Selain itu, William lebih mementingkan wang ringgit dan tidak memperdulikan isterinya. Sebagai contohnya, apabila diketahui isterinya telah menduakannya, dia tidak marah sebaliknya menumpukan perhatian untuk mendapatkan puncak Gunung Tahan.

15. Watak-watak wanita turut memainkan peranan penting dalam sesebuah novel. Berdasarkan novel yang anda pelajari, nyatakan satu watak wanita dan peranannya dalam cerita. [7m]

Salah satu watak wanita dalam novel Putera Gunung Tahan ialah perempuan tua. Antara peranannya ialah sebagai penyambung zuriat. Sebagai contohnya, perempuan tua melahirkan seorang anak lelaki, iaitu Ratu Bongsu.
Peranannya yang berikutnya ialah sebagai isteri pejuang. Sebagai contohnya, perempuan
tua bersama-sama dengan suaminya, Mat Kilau, Tok Gajah dan Dato’ Bahaman berjuang menentang penjajah di Pahang.
Peranannya yang seterusnya ialah sebagai seorang pendakwah. Sebagai contohnya, perempuan tua menyebarkan ajaran Islam kepada masyarakat orang Sakai sebagai mengenang jasa mereka yang banyak membantunya.
Perempuan tua juga berperanan sebagai seorang yang berperikemanusiaan. Sebagai contohnya, perempuan tua amat bersimpati dengan Robert dan atas nasihatnya, Robert tidak diapa-apakan, sebaliknya diberikan layanan yang baik dan dilantik sebagai Batin Putih.

16. Nyatakan tiga ciri umum sesebuah novel. Berdasarkan novel yang anda pelajari, huraikan ciri-ciri tersebut. [8m]

Antara ciri umum sesebuah novel ialah mempunyai watak yang banyak, latar tempat yang luas, persoalan yang banyak, cerita yang panjang, plot yang kompleks sifatnya.
Berdasarkan novel Putera Gunung Tahan, wataknya memang banyak, iaitu Ratu Bongsu, perempuan tua, maharani, Robert, William, Ali, Awang, Kusina, Mem William, Mat Kilau dan Dato’ Bahaman.
Latar tempatnya juga amat luas, iaitu Gunung Tahan, Perkampungan Orang Sakai, Kampung Limau Putih, Gua, Kawasan Air Terjun, London, istana, bangunan milik Haji Adam.
Persoalan dalam novel ini juga agak banyak.antaranya ialah semangat cinta akan tanah air, kesan penjajahan, keruntuhan moral, kecurangan isteri, kerjasama antara satu sama lain, kasih sayang, simpati akan orang lain, menghormati tetamu, perjuangan menentang penjajah dan keberanian mempertahankan hak dan tidak mengenang budi.

17. Dalam pembinaan plot novel, biasanya terdapat bahagian permulaan, pendakian gerak berlaku, kemuncak dan peleraian cerita. Berdasarkan novel yang anda pelajari, huraikan permulaan ceritanya. [7m]

Berdasarkan novel Putera Gunung Tahan, bahagian permulaannya(eksposisi) sangat menarik. Pada bahagian ini, pengarang memperkenalkan latar masa iaitu Zaman Penjajahan Inggeris di Pahang.
Pengarang juga memperkenalkan latar tempat seperti Pahang, Gunung Tahan, Rimau Putih, hutan di sempadan negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang dan London.
Pada bahagian ini juga, pengarang memperkenalkan watak-watak penting seperti perempuan tua iaitu ibu kepada Ratu Bongsu, Robert, William, Mat Kilau dan Tok Gajah.
Pengarang juga turut memperkenalkan latar masyarakat, iaitu masyarakat yang tinggal di kawasan hutan. Sebagai contohnya, kumpulan orang Sakai yang tinggal di Rimau Putih yang menyelamatkan perempuan tua.

18. Apakah yang anda tahu tentang unsur suspens. Berdasarkan novel yang anda pelajari, nyatakan contoh peristiwa yang mempunyai unsur suspens itu dan alasan anda berkata sedemikian. [7m]
Unsur saspens ialah sesuatu yang menimbulkan ketegangan dalam kalangan pembaca dan menyebabkan pembaca tertanya-tanya akan kesudahannya.
Berdasarkan novel Putera Gunung Tahan, antara peristiwa yang dianggap saspens ialah kedatangan dua buah pesawat pengebom British ke puncak Gunung Tahan. Antara alasan saya berkata sedemikian ialah peristiwa ini menyebabkan pembaca tertanya-tanya sama ada pesawat itu akan mengebom mati Putera Gunung Tahan.
Peristiwa yang berikutnya yang dianggap saspens ialah Ratu Bongsu melamar Mem William sebagai isteri atau pemaisurinya. Peristiwa ini dianggap saspens kerana pembaca akan tertanya-tanya sama ada Mem William seorang isteri yang curang atau wanita asing akan berkahwin dengan Ratu Bongsu atau tidak.

19. Jelaskan aspek gaya bahasa dalam novel yang anda pelajari. [8m]

Gaya bahasa dalam novel Putera Gunung Tahan sangat menarik. Hal ini demikian kerana adanya penggunaan bahasa asing, iaitu Bahasa Inggeris. Sebagai contohnya ialah “Good morning old lady”.
Terdapat juga penggunaan dialog. Contohnya ialah dialog antara perempuan tua dengan Tuan Robert. Yang antara lain menceritakan asal usulnya dan bagaimana dia boleh sampai di Kampung Rimau Putih.
Terdapat juga penggunaan kata berganda seperti pokok-pokok, orang-orang, pembesar-pembesar dan lain-lain.
Ada juga penggunaan ayat yang panjang-panjang dan ayat yang pendek-pendek.

20. Apakah yang anda ketahui tentang unsur kejutan. Huraikan contoh peristiwa yang anda anggap sebagai peristiwa yang mempunyai unsur kejutan dalam novel yang anda pelajari. [7m]

Unsur kejutan ialah sesuatu uang tidak diduga oleh pembaca. Berdasarkan novel Putera Gunung Tahan, antara peristiwa yang dikatakan mempunyai unsur kejutan ialah Ratu Bongsu melamar Mem William yang diketahuinya seorang isteri yang curang sebagai isterinya. Peristiwa ini dianggap kejutan kerana Mem William tidak sesuai dijadikan isteri/permaisuri.

21. Apakah yang anda ketahui tentang unsur kebetulan. Huraikan contoh peristiwa yang anda anggap sebagai peristiwa yang mempunyai unsur kebetulan dalam novel yang anda pelajari.[7m]

Unsur kebetulaan ialah sesuatu yang sengaja diadakan oleh pengarang. Berdasarkan novel Putera Gunung Tahan, peristiwa yang dianggap unsur kebetulan ialah kematian Robert akibat jatuh dari atas pokok ketika mengejar gadis sakai. Peristiwa ini dianggap kebetulan kerana pengarang sengaja mematikan watak Tuan Robert untuk mengalirkan perhatian pembaca terhadap William.
Peristiwa lain yang dianggap sebagai unsur kebetulan ialah kematian Ali dan Awang akibat dipatuk oleh ular dan penyakit. Peristiwa ini ada unsur kebetulan kerana pengarang sengaja mematikan mereka supaya perjalanan William dan Robert semakin sukar mendaki Gunung Tahan.

22. Huraikan 3 unsur didaktik atau pengajaran yang terdapat dalam novel yang anda pelajari.[8m]

Berdasarkan novel Putera Gunung Tahan, antara unsur didaktiknya ialah janganlah kita terlalu mementingkan diri sendiri kerana perbuatan itu bukanlah amalan yang mulia. Sebagai contohnya, Robert menolak pelantikannnya sebagai Batin Putih kerana dia mahu meneruskan cita-citanya untuk mendapatkan puncak Gunung Tahan yang menawarkan ganjaran yang lumayan iaitu 5000 Paun.
Pengajaran yang seterusnya ialah kita hendaklah menghormati tetamu kerana perbuatan itu merupakan amalan yang baik. Sebagai contohnya, Ratu Bongsu tetap melayan William dengan baik sebagai tetamunya walaupun dia mengetahui bahawa William mempunyai niat yang tidak baik.
Pengajaran yang berikutnya ialah seseorang isteri janganlah bersifat curang terhadap suami kerana perbuatan itu bercanggah dengan agama Islam/ajaran agama. Sebagai contohnya, Mem William telah menduakan suaminya, William dengan menjalinkan hubungan sulit dengan seorang pemuda di rumahnya ketika William sedang bertugas di Tanah Melayu.

23. Berdasarkan contoh dalam novel yang anda pelajari itu, jelaskan perbezaan ciri antara novel dengan cerpen dari segi watak, latar tempat dan persoalannya. [8m]

Memang tidak dapat dinafikan bahawa terdapat perbezaan ciri yang jelas antara novel dengan cerpen. Hal ini dapat dilihat dari segi wataknya. Watak dalam cerpen tidak banyak sedangkan watak dalam novel lebih banyak. Contohnya, novel Putera Gunung Tahan memaparkan watak yang banyak seperti Ratu Bongsu, Ali, Awang, Perempuan Tua, Tuan William, Tuan Robert, Mem William dan Kusina.
Latar tempat dalam cerpen juga tidak banyak jika dibanding dengan novel. Sebagai contohnya, latar tempat dalam novel Putera Gunung Tahan sangat banyak seperti, Pahang, Gunung Tahan, Puncak Gunung Tahan, Gua, Kampung Rimau Putih, bilik khazanah, taman bunga dan sebagainya.
Persoalan dalam cerpen tidaklah sebanyak dalam novel sebagai contohnya, novel Putera Gunung Tahan memaparkan persoalan yang banyak seperti semangat cinta akan tanah air, mementingkan diri sendiri, pengaruh budaya barat, kesan penjajahan Barat dan keruntuhan moral.

24. Sejauh manakah novel yang anda pelajari itu menggambarkan sosiobudaya masyarakat atau cerminan masyarakat pada masa itu. [8m]

Memang tidak dapat dinafikan bahawa novel Putera Gunung Tahan menggambarkan masyarakat pada masa itu. Antaranya ialah masyarakat yang gigih berjuang menentang penjajah. Sebagai contohnya, Mat Kilau, Dato’ Bahaman, Tok Gajah dan suami perempuan tua berjuang menentang penjajah Inggeris di Pahang.
Seterusnya ialah masyarakat yang tinggal dalam hutan. Sebagai contohnya, masyarakat orang sakai dan perempuan tua tinggal di dalam hutan.
Berikutnya ialah masyarakat feudal. Contohnya, digambarkan raja-raja Melayu mendapat sebuah istana dan wang sebanyak 5000Paun kerana bekerjasama dengan penjajah. Contoh yang seterusnya ialah Ratu Bongsu merupakan pemerintah di Gunung Tahan.

25. Karya sastera seperti novel turut berfungsi sebagai alat kritikan sosial. Berdasarkan novel yang anda pelajari, huraikan kritikan sosial tersebut. [8m]

Memang tidak dapat dinafikan bahawa karya sastera seperti novel berfungsi sebagai alat kritikan sosial. Hal ini juga terdapat dalam novel Putera Gunung Tahan. Novel ini mengkritik golongan pemerintah yang mudah terpengaruh oleh pujukan Barat. Sebagai contohnya, digambarkan Sultan menyerahkan kuasa kepada penjajah Inggeris selepas diberi sebuah istana dan wang 5000 Paun.
Novel ini turut mengkritik golongan anak muda yang mudah terpengaruh dengan cara hidup Barat. Sebagai contohnya, Tungku Aisah digambarkan mengandung sebelum kahwin dan minum arak di bangunan milik Haji Adam.
Selain itu, novel ini juga mengkritik golongan penjajah yang menindas dan mengeksploitasi rakyat tempatan. Sebagai contohnya, penjajah Inggeris telah melakukan kekejaman di Pahang sehingga suami perempuan tua mati dan Raja-raja Melayu mengikut telunjuk mereka.

2 comments:

Anonymous said...

HYE!
tlg berikan saya latar masyarakat(fizikal)berkenaan novel ini..? i really need ur help...
also latar tempat n masa... but the 1st most important...
juz send to juniorkcik@yahoo.com
a.s.a.p...

terima kasih..

oRgAnIcFerN said...

can u write contoh like why we like this novel??